Tuan Dressar" main peranan penting dalam
penjagaan kesihatan
11 Jun 2012
KUALA LUMPUR - Mereka yang dilahirkan sebelum tahun
1960an sudah tentu akan ingat terhadap panggilan 'Tuan Dressar' bila mereka ke
klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Di awal tahun Malaysia (Malaya ketika itu) baru
mengecapi kemerdekaan, kekurangan doktor terutama dari golongan anak watan
memang begitu ketara sekali.
Bagi masyarakat ketika itu, mereka mengalami suatu
peralihan di mana pada zaman dahulu mereka bergantung kepada bomoh untuk
mengubat pelbagai 'sakit pening' yang dialami.
Tetapi arus kemerdekaan turut mengubah persepsi
masyarakat zaman itu terhadap bidang perubatan dan anjakan ini membawa mereka
mendapatkan rawatan di institusi 'rumah sakit' iaitu panggilan lama bagi
hospital.
"Dulu saya pernah dipatuk ular ketika melalui
lorong dalam estet getah. Bapa saya mengejarkan saya ke klinik kesihatan di
kampung.
"Nasib saya baik, 'dressar' yang bertugas
menyelamatkan saya setelah menyuntik ubat penawar bisa ular itu," cerita
Mat Hassan Seman, 62, yang berasal dari Gua Musang Kelantan kepada penulis.
'Tuan Dressar'
Seorang lagi yang pernah dirawat 'dressar' adalah
Hussin Abu dari Batu Arang, Selangor yang menceritakan bagaimana tapak kakinya
luka teruk terpijak serpihan kaca.
"Kawan-kawan bawa saya ke klinik kerajaan di Batu
Arang dan saya menerima 10 jahitan di tempat yang luka. Dressar yang
melakukannya," jelas beliau.
Mengikut catatan arkib perkembangan sektor penjagaan
kesihatan di Malaysia, profesion 'dressar' ini telah wujud hampir dua abad lalu
di negara ini.
Pada awalnya ia dikenali sebagai 'apothecaries' yang
diperkenalkan oleh pentadbiran British di Pulau Pinang pada tahun 1823.
Di Britain, apothecaries adalah mereka yang
menyediakan, menjual dan memberi ubat-ubatan. Kerjaya ini kemudian menjadi
'Sub-Assistant Surgeon' di zaman kolonial dan kemudian dipanggil 'dressar' oleh
komuniti Melayu ketika itu.
Panggilan ini terbit daripada perkataan Bahasa
Inggeris 'dresser' iaitu merujuk kepada pembantu jurubedah yang membalut luka
pesakit.
Serba kekurangan
Di zaman pemerintahan British Malayan Administration
(BMA) iaitu tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, khidmat kesihatan bagi
masyarakat berada dalam serba kekurangan dari segi kemudahan dan
insfrastrukturnya.
Ketika itu, penjagaan kesihatan masyarakat amat daif
di mana hospital amat kurang dan cuma wujud di bandar-bandar besar. Di kampung
serta kawasan pedalaman, tidak ada pusat kesihatan, hospital mahupun farmasi
yang menjual ubat seperti sekarang.
Pada dekad-dekad yang lampau inilah, pihak pentadbiran
kolonial mula membawa masuk pembantu hospital dari Ceylon (kini Sri Lanka) dan
India bagi menjaga keperluan kesihatan serta kebajikan pekerja-pekerja estet
getah kepunyaan British.
Ada juga 'Tuan Dressar' yang berbangsa Serani ini
ditempatkan di hospital kerajaan ketika itu.
'Dressar' ini berkhidmat di daerah terpencil di mana
mereka tinggal di kuarters di kawasan klinik atau hospital bagi menyenangkan
khidmat mereka ditagih di waktu malam serta kecemasan.
Adakah khidmat 'dressar' semakin dilupakan oleh
masyarakat yang kini dilengkapi kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan
serba moden?
Transformasi kepada penolong pegawai perubatan
Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun
1957 dan menjadi sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaya, pihak
Kementerian Kesihatan memberikan beberapa transformasi terhadap kerjaya ini.
Pada tahun 1963, 'dressar' dikenali sebagai pembantu
rumah sakit. Tujuh tahun kemudian, nama jawatan ini ditukar kepada pembantu
hospital dan selanjutnya sebagai pembantu perubatan pada tahun 1985.
Kini sejak tahun 2007, ia dikenali sebagai penolong
pegawai perubatan atau PPP.
Menurut Kementerian Kesihatan, fungsi penolong pegawai
perubatan adalah memberi perkhidmatan penjagaan kuratif, promotif, pencegahan
dan rehabilitatif kepada setiap lapisan masyarakat.
Statistik sehingga tahun 2010, menunjukkan lebih
12,000 orang penolong pegawai perubatan yang berdaftar dengan Lembaga Pembantu
Perubatan Kementerian Kesihatan.
Latihan
Seorang PPP yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd
Noordin yang pernah berkhidmat di Pusat Kesihatan Merbok, Kedah berkata:"
Sebelum Perang Dunia Kedua, latihan yang di berikan kepada pembantu perubatan
tidak seperti mana yang terdapat pada hari ini.
"Mereka menjalani latihan semasa bekerja dan
mendapat bimbingan daripada pegawai perubatan (doktor) yang bertugas. Pembantu
perubatan yang menjalani latihan akan menduduki beberapa peperiksaan yang
dianjurkan kementerian," jelas Mohd Noordin yang mendapat latihan di Kolej
Pembantu Perubatan di Seremban.
Selepas Perang Dunia Kedua, pelatih pembantu perubatan
dihantar untuk menjalani latihan di Sekolah Latihan Jururawat dengan mengikuti
kursus yang sama sehingga tamat latihan dalam peperiksaan akhir.
Pada tahun 1965, Kementerian Kesihatan melancarkan
latihan paramedikal yang diberi nama 'Crash Programme'.
Ekoran program itu, maka terbinalah sebuah Sekolah
Latihan Pembantu Perubatan (SLPP) yang terletak di Jalan Rasah, Seremban
(Negeri Sembilan) yang dirasmikan pada 25 Ogos 1971.
Sejak 1993, selaras dengan perkembangan pesat ilmu
perubatan di Malaysia, Sijil Pembantu Perubatan telah dinaiktaraf kepada
Diploma Pembantu Perubatan.
Serentak dengan itu Sekolah Latihan Pembantu Perubatan
telah ditukar menjadi Kolej Pembantu Perubatan (KPP). Sehingga hari ini
terdapat empat buah Kolej Pembantu Perubatan di Seremban, Ulu Kinta (Perak),
Alor Setar (Kedah) dan Kuching (Sarawak).
Peranan
Menurut Mohd Noordin, PPP memainkan peranan penting
dalam penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan komuniti terutama dalam
perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dan rawatan kecemasan .
"Mereka sebenarnya sebahagian daripada golongan
profesional penjagaan kesihatan yang menjalankan kerja administratif dan
klinikal bagi membantu tugas doktor perubatan dan kakitangan penjagaan
kesihatan yang lain.
"PPP menjalankan tugas seperti memeriksa
tanda-tanda penting pada pesakit, memberi dan menyuntik ubat, mencatatkan
keterangan dalam rekod perubatan, menyediakan peralatan perubatan, mengumpul
spesimen cecair badan dan tisu bagi ujian makmal," kata beliau yang kini
berkhidmat di sektor swasta.
Hari ini, PPP merupakan satu komponen penting dalam
operasi sesebuah fasiliti kesihatan seperti klinik di mana mereka menjalankan
kombinasi tugas pengurusan, perkeranian dan juga klinikal.
Mereka juga menjalankan kerja konsultasi dan
diagnostik di bawah pengawasan pegawai perubatan.
Masyarakat tidak pernah lupa pada jasa "Tuan
Dressar" dan kini PPP memainkan peranan serba boleh setiap hari di mana
profesion itu telah berkembang dengan rancak dan merupakan kerjaya penting bagi
dunia kesihatan bersekutu.
Klinik 1Malaysia
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
penubuhan Klinik 1Malaysia di seluruh negara dalam Bajet 2010 sebagai satu
daripada usaha kerajaan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan rakyat.
Klinik ini menyediakan khidmat rawatan yang diterajui
PPP serta jururawat yang berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun. Klinik
1Malaysia yang diwujudkan atas konsep 'Rakyat diDahulukan, Pencapaian
Diutamakan' telah memberi khidmat penjagaan kesihatan berkualiti kepada
penduduk miskin di kawasan bandar.
Sehingga Oktober 2011, seramai 2.97 juta orang
menggunakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia yang dicatatkan di 82 klinik seluruh
negara.
Kerajaan merancang menambah Klinik 1Malaysia kepada
lebih 150 menjelang akhir tahun ini termasuk 50 klinik baru yang akan dibina di
bawah peruntukan Belanjawan 2012.- Bernama
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan
pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi
pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment